Thursday 11 August 2011

Falsafah kecantikan dan keindahan dalam Cinta


Kecantikan dan keindahan ialah suatu anugerah Allah kepada manusia yang boleh menilainya dengan saksama. Kedua-dua konsep abstrak itu adalah subjektif, kerana sesuatu yang cantik dan indah kepada seseorang belum tentu cantik dan indah pada orang lain. Kecantikan tidak saja terbatas kepada wanita, tetapi semua kejadian Allah yang ada dimuka bumi yang boleh kita lihat dan juga yang boleh kita bayangkan melalui Al-Quraan dan Sunnah yang ada di syurga atau di alam kemudian.

Apabila seseorang memandang wanita yang cantik, bukan fizikalnya yang penting dilihat, tetapi kecantikan dan keindahan makhluk Allah itu yang perlu kita perhatikan. Cantik ertinya tidak ada sedikit pun cacat pada dirinya dan indah sebab kombinasi wajahnya yang serasi dengan konsep keindahan yang kita ada. Akhirnya kita akan mengakui bahwa cantik dan indah itu dari Allah dan setiap ciptaan Allah itu lengkap dan sempurna.

Maka akan lahirlah keinginan untuk memiliki kecantikan dan keindahan itu. Antara insan mungkin akan timbul rasa cinta. Terdapat dua istilah yang disebut dalam novel atau filem ayat-ayat cinta iaitu memiliki atau mencintai. Dua konsep abstrak ini boleh kita lihat dalam perspektif yang berbeza. Lelaki boleh mencintai wanita, begitu juga sebaliknya. Lelaki juga boleh memiliki wanita dan sebaliknya. Apakah perbezaannya antara memiliki dan mencintai. Dalam cinta aspek kerjasama sangat ditekankan sehingga kerelaan berkorban untuk yang dicintai itu terserlah jelas. Sementara memiliki memperlihatkan kekuasaan lelaki terhadap wanita atau kekuasaan wanita terhadap lelaki.

Antara konsep kerjasama dan kekuasaan sangat jauh berbeza. Cinta, kerjasama, pengorbanan, saling memerlukan merupakan kelompok perkataan yang menggambarkan kesyahduan, keamanan, keserasian, keindahan dan keintiman. Kekuasaan, ego, kebencian, persaingan berada pada kelompok kekuasaan. Jadi, sangat jelas perbezaan antara memiliki dengan mencintai.

Bahagialah orang yang mendapat seseorang yang mencintainya kerana cinta melahirkan keindahan dalam berumah tangga dan kehidupan. Rela, ikhlas dan pasrah antara kata-kata indah dalam rumah tangga harmonis dan hubungan yang kekal. Ramai lelaki atau wanita yang membeli cinta gagal dalam hidupnya kerana cinta yang dibeli samalah dengan memiliki. Pembelian cinta boleh berlaku dengan wang ringgit dan pangkat, namun cinta sejati lahir dari hati yang ikhlas, murni dan pasrah. Cinta sejati lahir kerana cinta kepada Allah itu kuat. Melalui cinta kepada Allah yang kuat kita dapat mencintai yang lain dengan sempurna. Dalam istilah cinta yang banyak berlaku ialah memberi bukan meminta. Jika kita terus menagih cinta bermakna kita tidak ikhlas dalam bercinta. Apakah setiap yang kita beri memerlukan balasan? Kalau itu masih ada pada kita, namanya cinta kita tidak ikhlas. Keikhlasan ialah memberi tanpa mengharapkan balasan.

Cintailah Allah kerana Dia tidak memerlukan balasan, indah kalau kita mendapat cinta Allah kerana tidak ada batas dalam cinta kepada Allah. Cinta kepada manusia adalah manifestasi cinta kita kepada Allah. Rasa lega yang amat sangat kalau kita terus menyandarkan cinta kita kepada Allah kerana tidak akan rasa hampa kerana Allah sangat mencintai makhluk yang Dia cipta iaitu manusia.

Marilah kita cari cinta Allah semata-mata.

Friday 17 October 2008

Purwati Bridal

Cita-cita untuk menjalankan usaha pakej perkahwinan (Purwati Bridal) telah lama berputek dalam diri isteri saya, Umi Purwati Sunoto. Kesukaan beliau kepada semua yang cantik mungkin berada dalam diri beliau sejak kecil. Pada 12 Oktober 2008, Purwati Bridal telah memulakan langkah pertama dengan menyedia dan memasang perlengkapan perkahwinan untuk Zana (nama ringkas pelanggan pertama kami) di rumahnya di Segambut. Alangkah bahagianya beliau memulakan langkah pertama itu. Beliau menunggu dengan penuh debar pelanggan-pelanggan berikutnya dan bersedia untuk mencari pengalaman baru. Keluarga (suami, anak-anak dan menantu-menantu) membantu usaha ini dengan penuh komitmen. Umi bersyukur kepada ALlah kerana telah mengurniakan keluarga yang begitu prihatin dan bekerjasama untuk kebaikan bersama. Umi mengharapkan agar usaha ini dapat diteruskan oleh keluarga termasuklah cucu-cucu (yang kini berjumlah 8 orang) dan menjadi usahasama keluarga yang berjaya.
Sejak kehadirannya di Malaysia pada 1976 hinggalah kini, beliau telah berjaya membuka Salun Kecantikan yang dinamakan "Purwati Aerobics and Beauty Centre" (www.purwati.com.my). Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Dr Ismail Abdullah ketika Ismail melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Bandung (1970 - 1976).